BINTULU, 22 Julai 2024 — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dalam ucapan sambutan Hari Sarawak 2024, menekankan kepentingan sejarah perlembagaan awal Sarawak dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pemerintahan sendiri.
“Saya percaya kebanyakan rakyat Sarawak, khususnya generasi baharu, tidak mengetahui bahawa Sarawak sudah mempunyai Perlembagaan sendiri pada 1941, iaitu selepas 100 tahun berada di bawah pemerintahan keluarga Brooke,” kata Abang Johari.
Beliau menjelaskan bahawa penggubalan Perlembagaan ini sejajar dengan hasrat keluarga Brooke untuk menyerahkan pemerintahan Sarawak kepada rakyat Sarawak sendiri seperti yang dizahirkan dalam Sembilan Prinsip Utama pemerintahan Brooke atau “The Nine Cardinal Principles”.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sambutan Hari Sarawak 2024 di Bintulu.
Namun, penyerahan kuasa ini tidak menjadi kenyataan ekoran tercetusnya Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang, hasrat Sarawak memerintah diri tidak juga menjadi kenyataan kerana keluarga Brooke menyerahkan Sarawak kepada kuasa British yang dianggap lebih selamat kerana Sarawak sudah tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk mentadbir negeri ekoran perang yang telah berlaku.
“Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah bahawa keadaan tidak menyebelahi Sarawak pada masa itu yang seharusnya menjadi wilayah bebas dan berdaulat lebih awal dari 1963,” ujar beliau.
Bertitik tolak daripada peristiwa-peristiwa bersejarah ini dan sempena sambutan Hari Sarawak pada tahun ini, beliau menegaskan bahawa usaha untuk memperingati Hari Sarawak bukan sekadar menyedarkan rakyat bahawa Sarawak telah diberi kuasa untuk memerintah diri atau self-government pada 22 Julai 1963 oleh pihak British.
“Di sebalik pengertian kuasa self-government ini ialah bahawa Sarawak telah bergabung dengan wilayah-wilayah lain untuk menubuhkan Malaysia sebagai sebuah entiti politik yang berdaulat melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang diiktiraf oleh Bangsa-Bangsa Bersatu pada ketika itu,” tambahnya.